Make your own free website on Tripod.com

TAJDID BULETIN PAS SEGAMBUT

TAHUN 2 * NO. 3 * UNTUK AHLI PAS SAHAJA * RAMADHAN 1419 * JANUARI 1999

 

BEKAS AHLI UMNO BERPELUANG MEMENANGI HADIAH ISTIMEWA

Oleh : Esa Samad

Segambut, 26 Disember : Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Hj. Subky Abdul Latif berkata bekas ahli Umno yang menyertai PAS amat bertuah kerana mereka berpeluang mendapat hadiah istimewa. Hal ini disebabkan PAS menyediakan hadiah istimewa untuk ahlinya barunya yang ke 500,000.

"Akhir-akhir ini begitu ramai bekas ahli Umno menyertai PAS. Oleh sebab itu kita baru sahaja melepasi angka 500,000 ahli PAS, saya percaya bekas ahli Umno yang akan dapat hadiah itu,’’ ujarnya di majlis penyerahan borang permohonan keahlian PAS oleh lebih lapan puluh penduduk Kampung Sungai Udang.

Penduduk kampung tersebut bertekad menyertai PAS setelah kecewa dengan sikap para pemimpin Umno yang membelakangkan nasib bangsa sendiri. Tajdid difahamkan penduduk-penduduk kampung tersebut menghadapi ancaman diusir dari kampung itu ekoran projek meluruskan dan melebarkan Sungai Keroh yang melalui kampung berkenaan.

Hj. Subky turut melahirkan perasaan simpati terhadap penduduk-penduduk kampung berkenaan yang terpaksa akur kepada kehendak kerajaan meskipun mereka telah meneroka kawasan tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

"Agak malang nasib bangsa Melayu di negara kita, diusir dari tempat tinggal oleh pemimpin sebangsa dengan mereka. Sebaliknya jika kita lihat di negara-negara lain, suasana agak berbeza. Misalnya orang Islam di Palestin diusir oleh pengganas Yahudi. Kaum Red Indian di Amerika pula ditindas dan diusir oleh bangsa kulit putih Amerika," ujar beliau seterusnya mengulas nasib penduduk kampung tersebut.

Sehubungan itu beliau menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati memilih pemimpin pada masa akan datang supaya tidak ditimpa nasib malang seperti Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai.

TAJDID

 

 

Sertailah PAS untuk menegakkan kesejahteraan dan keadilan

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1419 PESURUHJAYA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

PAS Wilayah mengucapkan syabas dan tahniah kepada PAS Kawasan Segambut kerana dapat memarakkan obor jamaah hingga kini mendapat sambutan dari kalangan berbagai pihak baik dari penduduk rumah atap genting hingga kepada penghuni rumah setinggan - dari Taman Tun Dr Ismail hingga ke Kg Sungai Udang.

InsyaALlah yang mula menambah cawangan dan ahli akan dapat menambah lagi cawangan sebelum kokok ayam pertama alaf baru pada tahun 2000 nanti.

Memandangkan Segambut bukan kawasan majotiti Islam, ia memberi cabaran yang luas kepada jamaah tempatan untuk menempah pengalaman yang dilalui oleh Junjungan RasuluLlah s.a.w. menjadikan Mekah dan Madinah dari kota-kota yang minoriti Islam kepada majoriti.

Berkat keyakinan, kesabaran, ketekunan dan istiqamah selama empat puluh tujuh tahun PAS kini disertai beramai-ramai oleh umat Islam. Sebelum alaf baru menyinsing PAS insyaALlah menjadi organ majoriti ummat Islam Malaysia.

Moga-moga sedekad kemudian masyarakat yang belum Islam pula akan berduyun-duyun menyertai Islam laksana pembukaan dan pembebasan kota Mekah 1400 tahun lalu serentak membesarkan lagi PAS.

Jika ALlah makbulkan doa dan permintaan kita maka Segambut tidak lagi menjadi kawasan minoriti Islam sedekad sebelum tahun 2020.

Sebenarnya Islam tidak pernah sempit untuk sesiapa jua. Terima kasih dan Selamat Menyambut Aidl Fitri, mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dilimpahi keberkatan.

Haji Ahmad Subky Abdul Latif

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

 

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1419 YANG DI PERTUA PAS KAWASAN SEGAMBUT

PENGGABUNGAN `AQAIDI

Bagi Pihak kepimpinan PAS Kawasan Segambut, saya mengucapkan selamat menyambut Aidil Fitri 1419 kepada seluruh warga jamaah, mudah-mudahan Allah berkenan melimpahkan rahmat dan keberkatan di sepanjang sisa kehidupan kita. Kami bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas segala pertolongan dan kekuatan yang dikurniakan-Nya sepanjang setahun yang

 

bersambung di muka 3

dari muka 2

lalu di dalam memikul beban amanah meneruskan perjuangan besar menegakkan Islam abad ini.

Ramadhan tahun ini sesungguhnya memberikan nikmat yang tidak ter-hingga kepada PAS Kawasan. Selain kelazatan dan ketenangan melaksanakan ibadah puasa, PAS Kawasan Segambut juga menerima sejumlah besar anggota keluarga baru dari berbagai latarbelakang kehidupan. Dari golongan ulamak, profesional, teknokrat sehinggalah kepada rakyat marhaien yang berduyun-duyun dengan penuh semangat dan tawadhuk menzahirkan keanggotaan mereka di dalam PAS.

Kita bersyukur dan mengharapkan kemasukan ramai anggota baru ini akan menjadi penjana kekuatan bagi menangani cabaran besar perjuangan khususnya di kawasan Segambut. Jadilkanlah penggabungan diri dengan PAS sebagai penggabungan `aqaidi yang lahir di atas tuntutan `aqidah yang kita pegang. Sejajar dengan firman ALlah S.W.T. yang bermaksud :

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi wali (penolong, pelindung) bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar."

(Surah at-Taubah:71)

Tidak sekadar mereka disebut secara jama` (berkumpulan), malah disebut secara khusus bahawa mereka adalah wali sesama mereka. Ini menunjukkan bahawa seorang yang beriman itu mestilah melaksanakan dakwah, dan mestilah saling bekerjasama dan sempurna menyempurnakan dalam melaksanakannya. Ini tidak mungkin dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna melainkan dalam keadaan berkumpulan atau berjama`ah. Di sinilah lahirnya penggabungan diri ke dalam jamaah Islam: PENGGABUNGAN `AQAIDI yang dituntut oleh iman.

Penggabungan `aqaidi bukanlah timbul kerana ikutan ataupun semangat. Ia lahir di atas rasa KEIMANAN yang mendalam kepada Allah dan KEFAHAMAN yang jelas. Tindakan yang dilakukan dengan niat yang betul seperti mana pesanan Rasulullah s.a.w. masyhur :

"Dan barangsiapa hijrahnya adalah untuk dunia yang ia ingini ataupun perempuan yang ia ingin nikahi, maka hijrahnya adalah untuk apa yang ia hijrah kepadanya."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penggabungan yang mesti dilakukan dengan istiqamah dan berterusan berhadapan dengan segala situasi kehidupan. Ingatlah hadis Nabi SAW:

"Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada ummat di zaman dahulu, lalu kamu berkelahi kerana merebutnya di muka dunia."

(Muttafaqun `alaih)

Penggabungan `aqaidi melahirkan individu yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam kerjanya kerana keyakinan dan kecintaan serta ketaqwaan kepada Allah S.W.T. walaupun ia mungkin di keji dan dibenci oleh manusia. Individu ini akan resah gelisah sekiranya amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya tidak dilaksanakan kerana ia yakin ia akan dipersoalkan di hadapan Tuhannya kelak. Firman Allah (bermaksud ) :

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya)."

(Surah al-Ahzab: 23)

Roslan bin Zainal

Yang Di Pertua PAS Kawasan Segambut

CERAMAH UMUM

SEMPENA PELANCARAN

PAS CAWANGAN TAMAN TUN DR ISMAIL

YB DATO’ HJ. FADZIL MOHD NOOR

PRESIDEN PAS

YBHG. HJ. MUSTAFFA ALI

NAIB PRESIDEN PAS

YBHG. SDR. ROSLAN ZAINAL

YDP PAS KAWASAN SEGAMBUT

TARIKH

30 JANUARI 1999 / 12 SYAWAL 1419

SABTU MALAM AHAD

MASA

Jam 9.00 Malam

TEMPAT

Rumah Dato’ Dr Hasan Hj. Mohd Ali

Lot 3586, Lorong 4/71B, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (PTTDI)

Jalan Damansara, 60000 Kuala Lumpur

(Berhadapan Balai Islam PTTDI)

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Anjuran PAS Kawasan Segambut

http://members.tripod.com/~PasSeg/

 

Tajdid diterbitkan oleh Lajnah Penerangan PAS Kawasan Segambut. Tel. : 03-626 9614. E-mel : lannor@tm.net.my