Arkib |
Dewan Pemuda PAS Kawasan Lembah Pantai 14 Zulhijjah 1418 / 11 April 1998 Marilah kita membetulkan niat kita di dalam penerusan perjuangan. Kerana niat yang benar-benar ikhlas itulah sahaja yang akan menentukan kesudahan segala amalan kita di hadapan Qadhi Rabbul Jalil di Yaumul Qiyamah. Malam ini adalah malam ke-15 Zulhijjah 1418 - sehari selepas berakhirnya Taysrik yang menjadi agenda kemuncak tahunan rukun Islam. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan salam Aidil Adha, mudah-mudahan segala amalan soleh kita sepanjang tahun yang lalu diterima oleh ALlah SWT sebagai amalan yang tulus dan berkekalan ke mahkamah mahsyar. Pengajaran apakah yang mampu kita teladani daripada ibadah haji dan seruan talbiah yang bergema di angkasa Mekah? Haji adalah pertunjukan keesaan Allah dan perjalanan manusia menuju Allah SWT. Haji dilakukan saban Zulhijjah di Kota Mekah al-Musyarrafah yang aman dan damai. Di kota padang pasir ini sangat terasa suasana ibadah di mana manusia bebas menghadap wajahnya ke hadrat Allah SWT. Ingatlah ketika Ibrahim a.s. diperintahkan :
Al-Hajj : 27 Ibadah haji mencerminkan kepulangan kita kepada Allah SWT yang mutlak. Kepulangan ini dimulakan dengan kematian di Miqat apabila kita menanggalkan pakaian kita untuk mengenakan pakaian ihram. Kenapa kita mesti menukar pakaian? Kerana pakaian adalah penutup diri dan watak manusia. Pakaian melambangkan pola, status, martabat dan perbezaan sosial yang diciptakan oleh kerenah kehidupan manusia.. Pakaian menciptakan batas-batasan palsu yang menyebabkan perpecahan manusia. Dan hampir semua perpecahan ini menimbulkan diskriminasi, keakuan dan penindasan. Betapa banyaknya batas-batasan palsu ini yang telah wujud sejak sejarah Qabil dan memecahbelahkan keluarga Adam a.s. ke dalam berbagai kelompok dan pihak sehinggalah lahir tamadun perpecahan manusia yang kita berdepan dengannya pada hari ini. Ummat manusia terpecah-pecah menjadi berbagai ras, bangsa, kelas, subkelas, kelompok dan keluarga yang masing-masing antaranya memiliki status, nilai, nama dan kehormatannya sendiri. Apakah guna semuanya ini melainkan hanya sekadar menonjolkan sifat keakuan (ananiah) yang membawa petaka kepada kehidupan manusia. Di Miqat, tanggalkanlah segala pakaian kamu itu wahai manusia. Gantilah dengan kain kafan, sepasang kain putih yang sederhana yang sama dipakai oleh semua tetamu Allah yang lain. Masuklah kamu ke dalam lautan manusia laksana setitis air ke tengah samudra putih. Janganlah kamu tinggi diri di sini kerana kedatangan kamu ke sini bukan untuk bertemu dengan manusia, tetapi kamu akan mengunjungi Allah. Di Miqat ini, walau apapun bangsa dan suku kamu, lepaskanlah semua pakaian yang engkau pakai sehari-hari :
Tinggalkanlah semua pakaian itu di Miqat dan kini jadilah kamu sebagai manusia yang sebenarnya seperti seorang Adam, kerana sesudah mati nanti sedemikianlah hal engkau yang sebenarnya. Sesudah kamu mati di Miqat, sekarang bangkitlah kamu kembali bersama gerakan manusia yang lainnya untuk menuju Allah SWT. Tempuhilah padang pasir yang luas hingga ke Arafah. Sejauh mata memandang yang kelihatan hanyalah gelombang manusia-manusia berpakaian serba putih. Semuanya mengenakan kain kafan. Tidak seorang pun berbeza dengan yang lainnya. Di dalam perpaduan beraneka ragam manusia ini, nama, ras atau status sosial tidak lagi berharga. Yang dirasakan oleh jemaah ini adalah persatuan yang murni. Inilah pertunjukan keesaan ALlah yang dijayakan oleh manusia dan inilah gambaran pemandangan yang akan kita saksikan di Hari Kiamat nanti. Setiap orang telah meleburkan dirinya sendiri dan mengambil bentuk baru sebagai manusia. Segala bentuk keegoan dan kecenderungan individu menjadi lenyap dan semua orang menjadi satu bangsa dan satu ummah. Setiap orang yang melaksanakan ibadah haji telah berpaling dari dirinya sendiri dan menghadap hanya kepada Allah SWT. Sebelum menunaikan haji, manusia lupa kepada persamaan di antara sesama mereka. Mereka tercerai-berai kerana kekuatan, kekayaan, tanah dan bangsa mereka. Benteng nasionalisme yang dibina oleh mereka membawa sengsara kepada keluarga Adam a.s. untuk bergerak bebas di bumi ALlah SWT ini. Tetapi pengalaman haji membawa mereka menemukan kembali diri mereka sendiri dan tugas mereka selaku khalifah Allah di atas mukabumi. Itulah secebis kesan ibadah haji yang dihuraikan penuh indah oleh almarhum Dr Ali Syariati. Haji adalah muktamar tahunan ummat Islam. Muktamar yang seharusnya menjadi medan ibadah dan medan jawapan kepada segala kemelut dunia yang dibawa oleh puaka nasionalisme. Puaka yang telah melahirkan penindasan dengan sistem ekonomi kapitalis yang kita sengsara kerananya hari ini. Puaka yang telah menyebabkan umat Islam penjadi pelarian atau pendatang asing di bumi mereka sendiri - bumi yang telah diserahkan oleh Allah untuk diurus oleh keluarga besar Adam a.s. Puaka yang telah menyebabkan segolongan bangsa menutup mata untuk memahami akidah tauhid lalu terus merasa selesa untuk kekal di dalam agama dan kehidupan menyembah berhala. Padahal berhala tidak mempunyai apa-apa berbanding sebuah komputer yang cerdik dan berupaya melakukan kerja-kerja manusia. Pada malam ini, kita menjadi sebahagian daripada muktamar besar Zulhijjah itu. Kita berhimpun di sini bagi membuat perhitungan kembali apakah kerja buat kita untuk setahun yang lalu untuk memajukan perjuangan mendaulatkan Islam khususnya di bumi Malaysia ini. Apakah persiapan yang telah kita buat bagi menghadapi cabaran-cabaran besar yang dilontarkan oleh YB Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke 43 yang lalu - Bersiap Menghadapi Cabaran. Apakah pula program yang telah kita jayakan bagi menjana kuasa rakyat menantang kebejatan pemerintahan BN? Apakah cabaran-cabaran besar itu? Pastinya sama dengan cabaran yang telah dilalui oleh pemimpin kerinduan kita - RasuluLlah s.a.w. Kerana masyarakat dan tamadun yang ada di hadapan kita adalah masyarakat yang telah punah dan tamadun yang hampir kepada kebinasaan. Suasana binasa yang telah dibina oleh pemerintahan sekular Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO. Tidak cukupkah bagi kita untuk mengambil pengajaran daripada berbagai amaran Allah SWT. Amaran yang berupa berbagai peristiwa sedih dan kemelut cemar yang berlaku sepanjang dua tahun yang berlalu.
1. Cabaran pertama ialah kerosakan akhlak dan sistem nilai masyarakat kita. Tahun 1997 merupakan tahun penuh cabaran kepada umat Islam. Tirainya telah dibuka dengan ledakan keruntuhan sosial rakyat negara ini. Keruntuhan atau gejala sosial yang dipaparkan dengan :
2. Cabaran kedua pula ialah pembunuhan budaya ilmu dan kebenaran. Tahun 1997 menyajikan tragedi sedih apabila institusi ulama dipersendakan oleh kepimpinan BN. Pakaian dan maruah wanita Islam diperlekehkan semata-mata kerana ini menjaga hati golongan musyrikin. Pandangan dan teguran ulama dianggap kolot sementara pandangan golongan artis biadap dan mereka yang jahil diberi tempat di media massa perdana bagi mempengaruhi pemikiran awam ke arah kesesatan. Masyarakat terus diajak untuk menolak pelaksanaan syariat Islam secara sepenuhnya dengan berbagai cara yang jahat antaranya menentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II (lebih dikenali sebagai Hukum Hudud) yang diusahakan oleh kerajaan PAS di Kelantan. 3. Cabaran ketiga ialah kemelesetan akidah yang semakin parah dengan gejala riddah / murtad yang meledak di tengah-tengah gegak gempita kemasyhuran Malaysia yang kononnya menjadi negara contoh dan ulung di kalangan negara-negara umat Islam.
4. Cabaran keempat ialah penerusan penjajahan oeh kuasa-kuasa besar dunia dan golongan musyrikin melalui sistem ekonomi kapitalis global. Melalui sistem ini mustakbirin antarabangsa yang didalangi oleh gerakan zionis boleh berbuat apa sahaja bagi menekan dan menindas negara-negara yang dikelaskan sebagai negara-negara sedang mambangun yang sebahagian besarnya adalah negara umat Islam dengan menggunakan berbagai mekanisme ekonomi global ciptaan mereka. Hasil daripada ini lahirlah kemelut ekonomi yang melanda dunia di berbagai rantau secara berkala. Kemelesetan ekonomi ini boleh berlaku melalui mekanisme kenaikan harga minyak, penurunan nilai matawang dan sebagainya. Malaysia yang memang tidak mempunyai asas ekonomi yang kukuh akibat dasar pragmatisme melampau dan kerakusan nafsu besar ingin bermegah dan menunjuk-nunjuk pemimpin BN turut menerima padah dan kecelakaan neo-imperialisme ini. Rakyat yang tersepit sementara pemimpin negara menjadi enau yang melepaskan kaum kerabat mereka masing-masing. Kegagalan pengurusan ekonomi dan nafsu besar pemimpin UMNO/BN bukan sahaja menyebabkan keruntuhan nilai matawang negara malah kesusutan aset utama umat Islam iaitu hartanah dan ekuiti umat Islam negara ini. Ekuiti masyarakat Islam sebelum ini yang dicanangkan oleh mereka mencapai tahap 30% telah susut mendadak sehingga mencecah 28%. Angka ini akan terus mengecil dengan kebenaran penjualan ekuiti bumiputera kepada pihak asing ekoran kemelesetan ekonomi negara. Sementara pegangan hartanah umat Islam berada pada nisbah yang kecil berbanding dengan pegangan golongan bukan Islam. Tanah simpanan tanah rizab Melayu (yang merupakan aset umat Islam) turut merosot dengan isu pengambilan tanah di Kerpan, Pantai Kundor dan terbaru di Kg Sg. Penchala. Tragedi projek lebuhraya yang akan membelah Kg Sungai Penchala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan betapa umat Islam bukan lagi menjadi tuan di negara ini. Sementelah pula wakil rakyat yang dipilih oleh sebahagian pengundi Melayu di kawasan tersebut adalah orang bukan Islam. Sebahagian penduduk kampung yang terlibat telah mengemukakan memorandum membantah projek berkenaan yang tidak memberi faedah kepada penduduk kampung malah membawa pencemaran alam dan perampasan tanah rizab Melayu. Memorandum tersebut turut ditandatangani oleh lima cawangan UMNO di Kg Sungai Penchala. Malangnya memorandum bertandatangan-UMNO tersebut tidak dipedulikan oeh kerajaan BN. Ternyata bahawa UMNO terus menang sorak, kampung tegadai. 5. Cabaran kelima ialah penyalahgunaan hak-hak rakyat dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan BN. Setelah projek-projek mega piramid mereka menghadapi masalah maka wang titik peluh rakyat dirompak dengan begitu mudah bagi menyelamatkan projek-projek dan syarikat-syarikat besar elit. Bermula dengan isu Dayabumi, suntikan kepada projek Perwaja yang tenat sehinggalah kepada PLUS, Konsortium Perkapalan Berhad, KLCC dan banyak lagi. Para pemimpin negara memenuhi impian mereka membina projek piramid moden KLCC, Sukan Komanwel, KLIA, MSC dan lain-lain sementara rakyat terus menerus menjadi buruh mengangkut batu-bata bagi membina piramid. Sebahagian mereka ada yang mati terkubur tanpa pembelaan. Penderitaan mereka berterusan apabila kemelesetan ekonomi melanda, merekalah yang diajak berkorban menebus beban kesalahan pemimpin negara. Wang merekalah yang dirampok bagi menyelamatkan konco-konco qarun. Rakyat tidak harus lupa kepada skandal BMF. Pelaburan di pasaran wang oleh Bank Negara yang membawa kerugian berjuta ringgit, skandal Perwaja dan Empangan Bakun. Rakyat jangan mudah lupa kepada kesulitan air yang mereka hadapi sepanjang akhir tahun 1418. Rakyat jangan juga lupa kepada projek monorail yang kini menjadi tugu peringatan kerakusan pemimpin BN di kotaraya. Ini adalah sebahagian daripada trak record pemerintahan UMNO/BN yang dimegah-megahkan oleh sebahagian rakyat jelata. 6. Cabaran keenam ialah penghakisan kuasa politik dan ketuanan Islam di negara ini. UMNO menggadaikan kuasa politik kepada bukan Islam melalui Pilihanraya Umum 1995 apabila melepaskan sebahagian besar kawasan parlimen yang mempunyai kelebihan pengundi Melayu kepada parti komponen BN yang mewakili golongan bukan Islam. UMNO bukan penyelamat umat Islam. Negara akan terus tergadai sedikit demi sedikit. Akidah umat tidak akan terpelihara di bawah kerajaan UMNO-BN. Maruah dan akhlak generasi masa depan Islam akan terus rebah dan musnah dengan sistem pemerintahan cacamerba UMNO/BN. Masjid-masjid dan institusi Islam akan terus terancam. Rakyat akan terus tertindas sementara kerabat qarun akan terus mengekang khazanah negara ke dalam kantong mereka. Jangan mengharap UMNO akan membela umat Islam. Umno telah gagal memenuhi fungsi sebuah pemeritahan yang dikehendaki oleh Islam :
Tugas besar dan berat melaksanakan mandat khalifah di mukabumi ini tertanggung di atas kita, PAS. Kita yang mesti mulai sekarang tanpa tangguh menyediakan kekuatan, persiapan dan gerakan bagi menyelamatkan negara dan ummah dari kebinasaan. Tugas besar ini tidak mudah. Ia mesti diawali dengan pembinaan sumber manusia. Manusia yang mesti dipersiapkan dengan ilmu dan iman. Lihatlah perintah Allah kepada Rasul yang mulia di awal sejarah perjuangan ini :
Al-Alaq ; 1-4 Persiapan ilmu tidak terhenti hanya dengan kuliah pengenalan kepada asas Islam malah melangkau hingga kepada ilmu pelbagai bidang dan disiplin termasuk ekonomi dan teknologi. Kita sebagai pemuda pendukung perjuangan Islam mestilah berusaha gigih merebut dan memiliki dan mempelopori khazanah ilmu bagi memikul tugas berat memimpin ummah. Persiapan kedua ialah kekuatan iman. Lihat betapa Rasul yang mulia dipersiapkan dengan kekuatan iman dan keteguhan ruhani . Firman-Nya :
Al-Muzzammil : 1-5 Program tarbiyah pemuda mestilah berupaya melahirkan hizbullah yang mantap ilmu dan taqarrub dengan Allah. Pemuda mestilah melahirkan angkatan tentera Sallahuddin al-Ayyubi yang kediamannya bercahaya di waktu malam dengan zikir dan munajat kepada ALlah SWT. Usrah mereka bukan hanya meladeni buku-buku sekitar fiqqhiyyah fardhiyyah malah menganalisa pelbagai ilmu dan maklumat realisitik sehingga mereka mampu mengolah dan mengembleng segala sumber yang ada pada mereka walaupun sedikit menjadi kekuatan besar untuk menggerunkan dan menghancurkan musuh. Hizbullah bermakna angkatan yang gagah turun ke medan tempur, gagah menyuarakan kebenaran samada di dewan berhawa dingin, di meja bulat mahupun di jalanraya. Inilah angkatan yang mahu kita lahirkan di Wilayah Persekutuan (WP). Pemuda WP mempunyai peranan besar bagi mencetuskan dan memimpin halatuju politik dan sosio-ekonomi negara. Di mana kita selama ini apabila isu murtad meledak di tengah kotaraya? Di mana kita Pemuda Wilayah berdepan dengan gejala bohsia dan maksiat di hadapan mata kita? Di mana kita untuk menentang pencabulan maruah wanita Islam di dada akhbar, majalah dan pentas kota?. Di mana kita Pemuda Wilayah apabila berlaku tragedi kebakaran atau kekeringan air wargakota? Cukupkah kita kita dengan hanya menatap lesu dada Harakah atau Berita Perdana? Puaskah kita dengan turut bersama berebut mengumpul kekayaan dan kemewahan hidup bandar metro berlumpur ini? Padankah perjuangan kita dengan hanya hadir usrah, hadir ceramah dan bermesyuarat selang masa? Persiapan ilmu mestilah juga ditumpukan kepada generasi muda : anak-anak dan adik-adik kita. Kita tidak harus berpuas hati dengan hanya memiliki beberapa buah PASTI dan SRI tetapi membuat perancangan dan gigih berusaha bagi menyuburkan dan menambah pusat-pusat pendidikan Islam di sekitar kita. Pembinaan generasi Islam sebenar tidak boleh diharapkan kepada kerajaan BN. Biarlah mereka saban tahun merombak dan menggubal kurikulum, namun matlamat pendidikan yang mereka gariskan terus tidak kecapaian. Kitalah, pemuda PAS yang mesti menggempur tamadun maddiyyah dan hedonistik yang bermaharajalela memamah akidah dan jatidiri remaja Islam kini. Kita mesti mengembleng segala daya dan sumber bagi menubuhkan seberapa banyak institusi pendidikan Islam dan program-program pendidikan remaja Islam secara tersusun, berkala dan berkualiti. Kerja ini mesti dilakukan tanpa lengah. Kita juga menggesa kerajaan yang ada supaya memberi kuasa kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menggunakan wang ummat Islam bagi menubuhkan sekolah-sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan. Peruntukan undang-undang yang ada perlu dipinda bagi membolehkan JAWI melaksanakan tugas tersebut, walaupun kita sedar tuntutan ini akan berdepan dengan berbagai kerenah birokrasi dan tantangan semangat sekular pemerintahan BN. Pemuda dan Muslimat mesti menyediakan program pendidikan pelapis perjuangan melalui program pengkayaan pendidikan remaja selepas sekolah (after school academic enrichment) bagi memastikan mereka mempunyai ketahanan diri berhadapan dengan landaan nifaq yang berleluasa kini. Mereka mesti dididik untuk menghayati al-Quran dan al-Hadis dan mewarisi perjuangan kita secara serius melalui tamrin bulanan, lawatan sambil belajar, perkhemahan motivasi dan yakin diri dan penyertaan mereka di dalam Pergerakan Unit Amal Walad. Kita juga mesti menentukan disiplin ilmu yang akan diambil oleh mereka sehingga ke peringkat tinggi dan lanjutan bagi mengisi keperluan negara Islam yang bakal kita tegakkan dalam masa yang hampir, insyaALlah. Persiapan besar seterusnya ialah persiapan bagi kita merebut kekuasaan negara melalui medium yang ada iaitu persiapan pilihanraya. Kita harus sedar melalui pilihanraya kekuasaan negara mampu digenggam walaupun hanya dengan satu undi! Cabaran besar pilihanraya ialah memenangi pemikiran rakyat selain daripada strategi yang tepat dan tindakan politik yang betul. Kita mestilah bijak dan realistik. Di hadapan kita terbentang lautan pengundi yang sebahagian besarnya umat Islam tetapi jahil kepada tuntutan akidah mereka untuk memenangkan parti Islam. Di hadapan kita juga lautan manusia yang belum menerima akidah Islam akibat pelbagai tembok palsu perkauman dan kejahilan yang dibina oleh UMNO/BN. Kita bertanggungjawab memurnikan akidah mereka. Kita mestilah agresif dan bijak bagi menyampaikan akidah Islam kepada masyarakat Cina, India, Kadazan, Iban, Dayak, Semai dan sebagainya di seluruh pelosok negara ini. Logiknya, masyarakat bukan Islam tidak akan memberikan undi kepada kita. Logiknya juga kita tidak akan mampu memperolehi dua pertiga suara di parlimen tanpa sokongan mereka. Sekarang, inilah cabaran kepada kita pemuda PAS bagi segera turun menyeru mereka kepada akidah dan sistem hidup yang murni, menyeru mereka untuk bersama Islam dan menolak berhala sekular dan maddiyyah yang ditaja oleh BN. Cawangan parti mesti diperbanyakkan. Sumber manusia dan kewangan mesti diperkukuhkan bagi menghadapi peluang besar yang kian hampir ini. Semoga mesyuarat agung malam ini dan tahun baru 1419, Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai mampu melaksanakan agenda bertindak bagi bersama gelombang haji menuju Allah SWT. Bersama seruan talbiah : LabbaikaLlahu malabbaik .. al faqir ilaLlah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan |